Monday 19 May 2014

Orang Beragama Tetapi Tiada Nilai Asas

Dunia sedang mengalami krisis asas, iaitu krisis ekonomi global, masyarakat global dan politik global. Ketiadaan wawasan global, kemelut masalah yang tiada kesudahan, kelumpuhan politik ,kepimpinan politik yang kurang matang, gagal merancang masa kini dan masa depan dan secara keseluruhannya kurang peka terlihat di mana-mana. Terlalu banyak jawapan usang untuk cabaran baru dunia.


Ratusan jutaan manusia di atas muka bumi sengsara akibat pengangguran, kemiskinan, kebuluran dan kemusnahan keluarga. Harapan untuk keamanan yang berkekalan antara negara meleset jauh dari kita. Terdapat ketegangan antara jantina dan generasi. Kanak–kanak mati, membunuh dan dibunuh. Makin meningkat rasuah dalam politik dan perniagaan dalam negara.

Semakin sukar kita untuk hidup bersama secara aman damai dalam sebuah komuniti akibat konflik sosial, perkauman dan etnik, penyalahgunaan dadah, jenayah dan bahkan anarki. Bahkan, sekarang sesama jiran hidup dalam ketakutan sesama sendiri. Dunia terus dimusnahkan dengan rakusnya. Keruntuhan ekosistem mengancam kita. Berulangkali kita lihat para pemimpin dan penganut agama-agama menghasut permusuhan, provokasi, kefanatikan, kebencian dan permusuhan terhadap orang–orang asing sehingga sanggup menghalalkan dan menggalakkan kekerasan dan konflik berdarah yang membawa kearah merosakkan sesebuah negara.

Agama juga sering disalahgunakan untuk memperolehi kuasa, cita-cita politik, termasuk peperangan. Ini menjijikan kita. Sebagai masyarakat sivil yang peka perlu mengutuk keras kerosakan sebegini dan mengisytiharkan bahawa ini tidak seharusnya berlaku. Asas etika telah wujud dalam semua ajaran agama di dunia yang mampu menghalang keresahan global yang berlaku. Di kala ini manusia semakin pelik, bagaimana mengaku berpegang dengan ajaran agama tetapi lari dari asas-asas tersebut ?. 

Benar, etika yang sedia ada ini tidak menawarkan penyelesaian terus untuk semua masalah yang semakin serius di dunia ini, tetapi etika yang sedia ada ini dapat membentuk asas moral bagi melahirkan individu dan tata dunia yang lebih baik serta membentuk satu sudut pandang yang mampu menyelamatkan manusia dari putus harapan dan menjauhkan masyarakat dari kacau bilau.

Sebagai manusia menduduki bumi adalah orang yang menghambakan diri untuk menerima dan melaksanakan tuntutan ajaran agama-agama dunia. Prinsip agama yang dapat menjadi asas utama kepada etika global manakala kata sepakat yang minima dan paling asas berkaitan nilai, ukuran dan sikap moral.

Etika global disini bermaksud, sentiasa mengingati tentang norma etika yang kukuh dan jelas. Kita tidak seharusnya mengikat dan merantai, tetapi membantu dan menyokong manusia sekali lagi menemui serta menyedari arah, nilai, orientasi, dan memahami kehidupan. Telah wujud satu prinsip asas dalam banyak agama dan tradisi etika manusia sejak ribuan tahun dahulu, jangan perbuat terhadap orang lain apa yang kita tidak ingin orang lain perbuat terhadap kita atau dalam ayat lebih positif perbuatan terhadap orang lain apa yang kita ingin orang lain perbuat terhadap kita. Ini seharusnya menjadi nilai yang kukuh dan jelas untuk semua aspek kehidupan, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama. 

Semua bentuk ego perlu ditolak. Setiap sikap mementingkan diri, sama ada individu atau berkumpulan, sama ada berdasarkan kelas pemikiran, perkauman, semangat kebangsaan, atau kejantinaan. Setiap yang dinamakan manusia perlu mengutuk sekeras–kerasnya semua perkara ini kerana ia menghalang manusia dari menjadi manusia yang sebenar atau erti kata lain beretika dan moral.

Dalam pada itu, menurut seorang teologi kelahiran Swiss, Prof Dr Hans KΓΌng, etika global sebenarnya didirikan menerusi empat prinsip asas iaitu, pertama, tiada peraturan global baru tanpa etika global yang baru. Kedua, tuntutan asas keatas setiap manusia mesti diperlakukan sebagai manusia. Ketiga, peraturan kekal dan keempat, transformasi kesedaran.

Umat manusia perlu mengetahui kewujudan agama-agama di timur dan barat, utara dan selatan serta perbezaan-perbezaan yang pasti di antaranya agar wujud perasaan hormat- menghormati dan menerima terhadap perbezaan ini. Menerusi kesedaran ini, setiap penganut agama akan dapat mengenal pasti persamaan dan perbezaan di antara mereka serta mereka juga dapat mengetahui aspek yang berupaya mewujudkan salah faham dan perselisihan supaya suasana hormat-menghormati dipraktikkan.


The Author

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Morbi eu sem ultrices, porttitor mi eu, euismod ante. Maecenas vitae velit dignissim velit rutrum gravida sit amet eget risus. Donec sit amet mollis nisi, nec commodo est.

No comments:

Post a Comment